Tuesday 14 June 2011

Hapuskan PTPTN yg mengajar rakyat berhutang sebelum tamat belajar


KUALA LUMPUR, 14 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengulangi tuntutan rakyat supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara diberikan keutamaan untuk menerima biasiswa atau pendidikan secara percuma.

“Hanya inilah jalan terbaik untuk kerajaan melabur bagi mempercepatkan pembangunan modal insan demi masa depan negara,” kata setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Justeru, pihaknya memandang serius masalah agihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2011 yang penuh kontroversi hingga menyebab ramai pelajar cemerlang SPM 2010 yang layak tidak menerima biasiswa itu.

DPPWP, katanya mendapati jumlah dana biasiswa yang diberikan kepada JPA setiap tahun amatlah terhad, dan Kerajaan BN lebih cenderung mendidik pelajar-pelajar cemerlang ini berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai salah satu langkah bagi melepaskan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP mencadangkan supaya JPA mendedahkan jumlah peruntukan sebenar yang diberikan oleh Kerajaan BN untuk dana biasiswa ini setiap tahun.

DPPWP juga, katanya menuntut agar Kerajaan BN meningkatkan peruntukan dana biasiswa JPA selari dengan jumlah pelajar cemerlang yang kian meningkat saban tahun.

“Sekiranya jumlah pelajar cemerlang semakin bertambah dan jumlah biasiswa diperuntukan masih sama atau tidak mencukupi, maka sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai,” katanya.

Tambahnya, dalam masa yang sama kerajaan BN juga harus akur dengan tuntutan rakyat yang mahu PTPTN dihapuskan dan ditukar kepada biasiswa.

Dalam bab yang lain, katanya DPPWP juga menuntut agar JPA mendedahkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam negara berbanding yang pergi ke luar negara.

Ini, ujarnya kerana DPPWP melihat kos pengajian di dalam negara lebih murah berbanding kos pengajian diluar negara.

“Berdasarkan pengalaman alumni universiti dalam dan luar negara, ramai yang mengakui bahawa dengan kos setiap pelajar yang ditaja keluar negara, Kerajaan mampu untuk menaja 4 orang pelajar belajar di dalam negara,” katanya.

Pada hari ini, katanya negara memiliki lebih dari 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam, diikuti dengan puluhan Universiti Pengajian Tinggi Swasta serta pelbagai kolej-kolej dan politeknik yang menawarkan tempat untuk pelajar Malaysia.

Malah, kata beliau kebanyakan bidang yang diajar di universiti luar negara seperti kedoktoran, kejuruteraan dan perakaunan kini sudah ada ditawarkan oleh IPT tempatan.

Ini, ujarnya berbeza dengan tahun-tahun 50-an hingga 80-an kerana pada masa itu jumlah dan bidang kursus yang ditawarkan oleh IPT tempatan masih terhad.

Oleh itu, tambahnya ada baiknya kerajaan memfokuskan untuk menarik lebih ramai pelajar-pelajar cemerlang ini untuk menyambung pengajian di IPT dalam negara dengan memberikan mereka bantuan biasiswa.

Menurutnya, dengan dana yang terhad kerajaan boleh menawarkan biasiswa kepada lebih ramai pelajar di dalam negara berbanding ke luar negara.

DPPWP, jelasnya tidak menolak jika ada permohonan biasiswa kalangan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi biarlah kursus yang mereka ditawarkan itu adalah kursus yang tidak ditawarkan oleh IPT dalam negara yang mana kita tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk mengajar mereka seperti bidang berkaitan kajian tenaga nuklear, kejuruteraan industri aeroangkasa, dan yang seumpamanya.

“DPPWP juga berharap agar Kerajaan Persekutuan membuat penyelarasan dengan kerajaan-kerajaan negeri yang turut menawarkan biasiswa untuk anak-anak negeri mereka supaya agihan yang dibuat tidak bertindih hingga menyebabkan keciciran peluang bagi pelajar lain yang juga berhak.

“Agihan juga haruskan adil bagi semua kaum dan tidak dipengaruhi oleh ahli-ahli politik yang memegang kuasa dalam kerajaan,” katanya.


- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Dene Ln,,United Kingdom

No comments: